I made this widget at MyFlashFetish.com.

mari minum

mari minum

Sep 18, 2007

Misteri Kehilangan 3 orang Budak Perempuan

KUALA LUMPUR: “Tergamak kakak buat mak dan abah macam ni, apa salah kami? Kami berdua terlalu sayangkan kamu...”

“Mak sudah pun beli tiga pasang baju kurung raya untuk kakak. Kami sendiri pun tidak ada baju raya tahun ini semata-mata untuk menggembirakan kamu,” demikian luahan Zaima Osman, 33, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui selepas dilaporkan hilang di Bukit Beruntung, Rawang, baru-baru ini.

Pada malam Sabtu lalu, Norashila Jaafar, 12, dikatakan ‘ghaib’ dengan berpakaian lengkap dan ‘bertelekung’ kononnya untuk ke surau berhampiran rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, dekat sini untuk solat sunat Tarawih.

Bagaimanapun, dia yang berniat melarikan diri dari rumah kemudian mengajak rakannya, Rosbazla Mohd Basri dan Nursyakila Azlan, masing-masing berusia 14 tahun mengikutinya dengan alasan menemaninya ke rumah ibu saudara di kawasan berhampiran.






Dengan berbekalkan dua helai baju selain wang RM50 dan telefon bimbit yang dicuri daripada ibu bapanya, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya itu bersama dua remaja perempuan berkenaan kemudian menginap selama satu malam di rumah rakannya di Bukit Sentosa.



Pada keesokan harinya, mereka ke Rawang dan menaiki komuter menuju ibu kota dipercayai untuk bersiar-siar sebelum bertemu beberapa rakan lelaki.

Mereka kemudian bermalam selama dua hari di rumah lelaki berkenaan dan mendakwa hanya memakan roti sepanjang tempoh itu.

Pada kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Norashila yang tidak tahan dengan keadaan itu ingin pulang ke rumah namun diekori beberapa lelaki berhampiran Stesen Komuter Pantai Dalam.

Dia yang ketakutan segera menghubungi datuknya yang bekerja di Angkasapuri sebelum ditemui di bawah sebuah jambatan di kawasan berkenaan dalam keadaan tidak terurus.

Beberapa anggota dari Balai Polis Pantai yang turut berada di lokasi kejadian kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah pangsapuri di kawasan berhampiran di mana dua lagi rakannya berada.

Ibu bapa ketiga-tiga remaja perempuan berkenaan dihubungi pihak polis supaya hadir di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan menuntut anak mereka.

Zaima berkata, dia pelik dengan perubahan tingkah laku anaknya dan menyifatkan mereka sekeluarga tidak pernah mempunyai sebarang masalah serta persengketaan dengan Norashila.

“Melalui pemerhatian saya, sikapnya mula berubah sejak kebelakangan ini dan suka memberontak. Ia mungkin kerana dia tidak suka dikongkong dan inginkan kebebasan.

“Saya tidak menafikan bapanya pernah memarahinya sebelum ini. Namun, itu semua demi kebaikan dirinya dan tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Pantai di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sulaiman Junaidi.

Zaima bersama suaminya, Jaafar Abdullah, 39, sebelum itu sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa berhubung kehilangan Norashila.

Menurut Zaima, dia sekeluarga bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada pihak polis dan media kerana turut membantu dalam usaha menjejaki anaknya itu.

Kanak-kanak itu ketika ditemu bual berkata, tindakannya melarikan diri dari rumah akibat merajuk serta tidak tahan dengan leteran ayahnya.

Menurutnya, dia bagaimanapun menyesal dengan keputusannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi serta akan mematuhi arahan kedua ibu bapanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya berjaya menemui ketiga-tiga remaja perempuan itu selepas menerima maklumat orang awam termasuk datuk mangsa.

“Selepas 15 minit menemui Norashila di bawah sebuah jambatan, pihak kami kemudian mengesan dua lagi rakannya di sebuah kafe siber di Pantai Dalam sebelum membawa mereka ke balai polis berhampiran.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka menginap selama beberapa hari di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, kes berkenaan tidak mempunyai unsur jenayah dan hanya dikategorikan sebagai orang hilang,” katanya.

Sehubungan itu, Sulaiman menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi sepenuhnya anak-anak mereka selain mengambil kira sensitiviti dan perasaan mereka bagi mengelak perkara buruk berlaku.


0 comments: